Monday, June 16, 2014

Perubahan Keseimbangan Pasaran Disebabkan Perubahan SS atau DD



1. (a) Apakah maksud keseimbangan pasaran.
Keseimbangan pasaran ialah keadaan di pasaran apabila berlaku kuantiti permintaan pasaran adalah sama dengan kuantiti penawaran di pasaran pada tingkat harga tertentu.

(b)Terangkan kesan ke atas keseimbangan pasaran bagi daging ayam apabila;
(i) harga ikan meningkat.       
Cateris paribus, peningkatan harga ikan, iaitu barang pengganti kepada daging ayam   akan menyebabkan keseimbangan baru bagi daging ayam pada tingkat harga dan kuantiti keseimbangan yang lebih tinggi.                                                                       
  
 (ii) wujud wabak penyakit ayam di negara jiran.                                          
Cateris paribus, wujud wabak penyakit ayam di negara jiran menyebabkan keseimbangan baru bagi daging ayam pada tingkat harga dan kuantiti keseimbangan yang lebih rendah.

2. Dengan menggunakan gambar rajah yang sesuai, huraikan secara ringkas kesan kejatuhan harga buruh dalam industri kelapa sawit terhadap keseimbangan pasaran kelapa sawit. 

• Cateris paribus, kejatuhan harga buruh dalam industri kelapa sawit akan menyebabkan tingkat harga keseimbangan bagi kelapa sawit turun dan kuantiti keseimbangannya naik.
• Sebagai contoh, gambar rajah di bawah menunjukkan keseimbangan asal berlaku apabila keluk penawaran asal S bersilang dengan keluk permintaan D pada tingkat harga keseimbangan RM3 dan kuantiti keseimbangan 5 unit.
• Kejatuhan harga buruh menurunkan kos pengeluaran kelapa sawit, dengan itu penawaran bertambah pada sebarang tingkat harga dan mengalih keluk penawaran asal S ke kanan menjadi keluk Sl.
• Dengan itu, keseimbangan baru berlaku dengan tingkat harga turun daripada RM3 kepada RM2 dan kuantiti keseimbangan bertambah daripada 5 unit kepada 7 unit.


3. Dengan menggunakan gambar rajah yang sesuai dan dengan andaian faktor-faktor lain adalah tetap, huraikan kesan terhadap keseimbangan pasaran daging ayam dalam keadaan yang berikut:


(a) Kempen dijalankan oleh persatuan pengguna bahawa pengambilan daging ayam yang berlebihan akan menimbulkan masalah kesihatan.     


Apabila pengguna mengetahui pengambilan daging ayam yang berlebihan akan menimbulkan masalah kesihatan, permintaan terhadap daging ayam akan berkurangan. Pengurangan permintaan daging ayam menyebabkan harga dan kuantiti daging ayam berkurangan.


Gambar rajah di atas menunjukkan keluk permintaan dan keluk penawaran bagi daging ayam. Apabila permintaan terhadap daging ayam berkurangan, keluk permintaan akan beralih ke kiri dari DoDo ke D1D1. Kesannya, harga daging ayam akan jatuh dad Po ke P1 dan kuantiti daging ayam akan berkurangan dari Qo ke Q1.



(b) Wujud penemuan baharu dalam teknologi pemeliharaan baka ayam yang dapat meningkatkan daya pengeluaran industri ayam negara.


Peningkatan daya pengeluaran dalam industri ayam negara akan menyebabkan penawaran daging ayam dalam pasaran meningkat. Apabila penawaran daging ayam meningkat, harga daging ayam akan jatuh manakala kuantiti daging ayam akan meningkat.


Gambar rajah di atas menunjukkan keluk permintaan dan keluk penawaran bagi daging ayam. Apabila penawaran daging ayam dalam pasaran meningkat, keluk penawaran akan beralih ke kanan dari SoSo ke S1S1. Kesannya, harga daging ayam akan jatuh dari Po ke P1 manakala kuantiti daging ayam akan meningkat dari Qo ke Q1.


Sunday, June 15, 2014

Perbezaan Perubahan Kuantiti Ditawarkan Dengan Perubahan Penawaran



Perubahan kuantiti ditawar merujuk pergerakan di atas keluk penawaran yang sama kesan dari perubahan harga barang itu sendiri.


• Contohnya, apabila faktor lain tetap, gambar rajah A menunjukkan peningkatan harga daripada RM2.00 kepada RM3.00 menyebabkan kuantiti ditawar bertambah daripada 5 unit kepada 10 unit, iaitu ditunjukkan oleh pergerakan penawaran dari titik B ke titik C di atas keluk penawaran S. Sebaliknya, apabila harga turun daripada RM3.00 kepada RM2.00, kuantiti ditawar turun daripada 10 unit kepada 5 unit yang ditunjukkan oleh pergerakan penawaran dari titik C ke titik B.
Perubahan penawaran ialah peralihan keluk penawaran kesan daripada perubahan faktor selain daripada harga barang itu sendiri.
•Contohnya, apabila faktor lain tetap, gambar rajah B menunjukkan berlaku perubahan faktor penentu penawaran selain daripada harga barang itu sendiri seperti pertambahan kos pengeluaran akan mengalih keluk penawaran asal So ke kiri menjadi keluk Sl, bermaksud berlaku pengurangan penawaran bagi setiap tingkat harga. Sebaliknya, apabila kos pengeluaran turun, keluk penawaran asal So beralih ke kanan menjadi keluk S2, bermaksud berlaku pertambahan penawaran bagi setiap tingkat harga.

Contoh Soalan

Dengan menggunakan gambar rajah, terangkan kesan terhadap permintaan sesuatu barang sekiranya

(a) berlaku kemelesatan ekonomi dalam negara.
Apabila kemelesetan ekonomi berlaku dalam sebuah negara, pendapatan pengguna akan berkurangan. Kesannya, kuasa beli pengguna akan merosot. Kemerosotan kuasa beli pengguna akan mengurangkan keupayaan pengguna untuk membeli sesuatu barang di pasaran. Maka, permintaan pengguna terhadap barang tersebut akan berkurangan.
 
Berdasarkan gambar rajah di atas, keluk permintaan asal ialah DoDo. Kemerosotan kuasa beli pengguna akibat kemelesetan ekonomi menyebabkan keluk permintaan beralih ke kid dari DD, ke DD,. Pada tingkat harga asal Po kuantiti permintaan telah berkurangan dari Qo kepada Q1.  

(b) cukai import dikurangkan terhadap barang tersebut.
Pengurangan cukai import terhadap sesuatu barang akan menyebabkan harga barang tersebut jatuh. Kejatuhan harga barang akan menyebabkan kuantiti diminta barang tersebut meningkat.
 
Berdasarkan gambar rajah di bawah, harga dan kuantiti diminta asal sesuatu barang masing-masing ialah Po dan Qo. Pengurangan cukai import terhadap barang tersebut menyebabkan harga jatuh dari Po ke P1 dan kuantiti diminta meningkat daripada Qo kepada Q1.
 

Mekanisme Pasaran Menentukan Harga dan Kuantiti Keseimbangan



(a) Apakah yang dimaksudkan mekanisme pasaran?

Mekanisme pasaran melibatkan interaksi di antara kuasa permintaan dan kuasa penawaran di pasaran yang menentukan tingkat harga dan kuantiti barang di pasaran.

(b) Dengan menggunakan gambar rajah, huraikan bagaimana mekanisme pasaran menentukan tingkat harga dan kuantiti keseimbangan pasaran.          
* Berdasarkan mekanisme pasaran, tingkat harga dan kuantiti keseimbangan pasaran ditentukan berasaskan titik keseimbangan pasaran, iaitu apabila kuantiti permintaan adalah sama dengan kuantiti penawaran di pasaran.

• Sebagai contoh, gambar rajah di bawah menunjukkan keluk permintaan D dan keluk penawaran S bagi suatu barang di pasaran.

• Berdasarkan kuasa permintaan dan penawaran di pasaran, titik keseimbangan pasaran E ditentukan, bermakna tingkat harga dan kuantiti keseimbangan pasaran masing-masingnya ditentukan pada harga RM4 dan 50 unit.

• Jika tingkat harga barang lebih tinggi daripada tingkat harga keseimbangan pasaran, contohnya pada RM6, wujud lebihan penawaran di pasaran. Mekanisine pasaran akan membetulkan lebihan penawaran dengan penurunan harga sehingga harga dan kuantiti di pasaran mencapai keseimbangan berdasarkan titik E.

• Jika tingkat harga barang lebih rendah daripada tingkat harga keseimbangan pasaran, contohnya pada RM2, wujud lebihan permintaan di pasaran. Mekanisme pasaran akan membetulkan lebihan permintaan dengan kenaikan harga sehingga harga dan kuantiti di pasaran mencapai keseimbangan 
 berdasarkan titik E.

Penentuan Harga dan Kuantiti Keseimbangan Secara Rumus


Persamaan permintaan dan penawaran bagi barang M ialah seperti berikut.
              Qd =80 - 2P
              Qs =20 + 2P
dengan,  Qd = Kuantiti barang M diminta (unit)
              Qs = Kuantiti barang M ditawarkan (unit)
                P = Harga barang M dalam RM.

Hitung tingkat harga dan kuantiti keseimbangan bagi barang M 

Dalam keseimbangan, Qd = Qs.
       Oleh itu,

80-2P =20+2P
     4P =80-20
       P =60÷4
       P = 15.
Masukkan P = 15 ke dalam persamaan
     Qd=80-2P.
Oleh itu,
     Qd = 80-2(15)
     Qd = 50.
Oleh itu, harga keseimbangan ialah RM15.00 seunit dan kuantiti keseimbangan ialah 50 unit.



Penawaran, Faktor yang Mempengaruhi Penawaran dan Contoh Kuantitatif



(a) Dengan memberikan contoh, jelaskan maksud keluk penawaran.
• Keluk penawaran merupakan keluk yang menunjukkan kuantiti barang atau perkhidmatan yang sanggup dan mampu ditawarkan oleh firma pada tingkat harga tertentu dalam tempoh tertentu.
• Sebagai contoh, gambar rajah di bawah menunjukkan keluk penawaran S bagi suatu barang.
• Berdasarkan keluk penawaran S keluk penawaran menunjukkan pada tingkat harga RM4, kuantiti ditawarkan ialah 50 unit, dan pada tingkat harga RM6, kuantiti ditawarkan ialah 70 unit.

(b) Terangkan lima faktor penentu penawaran ke atas sesuatu barang atau perkhidmatan.
Lima faktor penentu penawaran ke atas barang atau perkhidmatan ialah:
• Perubahan harga barang itu sendiri.
Kenaikan harga barang itu sendiri akan menyebabkan kuantiti ditawarkan bagi suatu barang naik, manakala penurunan harganya menyebabkan kuantiti penawarannya turun.
• Perubahan kos pengeluaran.
Kenaikan kos pengeluaran sesuatu barang akan menyebabkan penawaran ke atas suatu barang akan turun, manakala penurunan kos pengeluaran akan menyebabkan penawaran ke atas suatu barang akan naik.
• Perubahan skala pengeluaran.
Jika skala pengeluaran bagi suatu barang ditingkatkan lebih barang dapat dikeluarkan dan penawarannya meningkat.
• Perubahan teknologi pengeluaran. 
Peningkatan teknologi pengeluaran seperti penggunaan mesin lebih canggih menyebabkan pengeluaran sesuatu barang meningkat dan penawaran ke atas barang  tersebut akan naik.
• Perubahan harga barang lain berkaitan. 
Perubahan harga barang lain berkaitan seperti kenaikan harga barang penawaran bersaing akan menyebabkan penawaran barang saingannya turun, manakala penurunan harga barang penawaran bersaing akan menyebabkan penawaran barang saingannya naik.

Membentuk fungsi Penawaran dan contoh kuantitatif
1. Jika hubungan antara kuantiti yang ditawarkan dengan tingkat harga adalah seperti yang berikut.
Berdasarkan jadual di atas, bentukkan fungsi penawaran untuk barangan tersebut. 
 100 = a + b(10)...(1)
 120 = a + b(15)...(2)
      (1) - (2)
 -20 = -5b
    4=b
100=a+4(10)
100=a+40
60 = a, maka
Qs = 60 + 4P

2. Diberikan fungsi penawaran Qs = 400 + 4P. Berapakah harga barangan jika kuantiti yang ditawarkan ialah 800 unit?
Qs = 400+4P
800 = 400 + 4P
800 - 400 = 4P
RM 100 = P

3. Andaikan fungsi penawaran adalah Qs = 160 + 8P. Jika kerajaan mengenakan cukai jualan sebanyak RM2 seunit barang, bentukkan fungsi penawaran baru.
Qs = 160 + 8P
     = 160 + 8(P - 2)
     =160+8P-16
     =144+8P

4. Andaikan fungsi penawaran adalah dalam bentuk P = 200 + 15Q. Jika kerajaan memberikan subsidi kepada pengeluar sebanyak RM2 seunit barang, bentukkan fungsi penawaran baru.
P =200+15Q
   =200+ 15Q-2
   = 198 + 15Q


Saturday, June 14, 2014

Hukum permintaan, faktor yang mempengaruhi permintaan



Terangkan bagaimana hukum permintaan dapat menjelaskan keluk permintaan individu ke atas suatu barang yang mencerun negatif.

•Hukum permintaan menyatakan, diandaikan faktor lain tetap, apabila harga suatu barang turun, kuantiti permintaan ke atasnya akan naik, manakala apabila harga suatu barang naik, kuantiti permintaan ke atasnya akan turun.
• Hubungan songsang atau negatif antara kuantiti diminta dengan tingkat harga yang dinyatakan oleh hukum permintaan ini adalah selaras dengan hubungan negatif antara kuantiti diminta dengan harga yang ditunjukkan oleh keluk permintaan bagi barang biasa yang berkecerunan negatif, iaitu mencerun menurun dari kanan ke kiri.
 
 • Sebagai contoh, keluk permintaan dalam gambar rajah di atas menunjukkan apabila harga barang turun daripada RM2.00 kepada RM1.00, permintaan naik daripada 2 unit kepada 3 unit, manakala apabila harga naik daripada RM2.00 kepada RM3.00, permintaan turun daripada 2 unit kepada 1 unit sahaja.

2. Mengapa keluk permintaan bercerun negatif?
 Keluk permintaan bagi suatu barang mencerun menurun dari kiri ke kanan disebabkan  oleh:

• Kesan penggantian.

Andaikan faktor lain tetap, kenaikan harga suatu barang akan menyebabkan harganya menjadi mahal berbanding harga barang penggantinya, dengan itu kuantiti permintaan ke atasnya turun kerana digantikan dengan barang penggantinya. Sebaliknya, penurunan harga barang menyebabkan harganya menjadi lebih murah berbanding barang penggantinya, dengan itu kuantiti permintaannya meningkat.

• Kesan pendapatan benar.

Andaikan faktor lain tetap, peningkatan harga suatu barang menyebabkan pendapatan benar pengguna turun, dengan itu kuantiti barang tersebut dapat diminta dengan jumlah pendapatan yang sama menjadi kurang. Sebaliknya, penurunan harga suatu barang meningkatkan pendapatan benar pengguna, dengan itu lebih barang dapat diminta dengan jumlah pendapatan yang sama.
• Hukum utiliti sut berkurangan.
Keluk permintaan yang mencerun menurun dari kiri ke kanan boleh dibentuk daripada keluk utiliti sut yang mencerun menurun dari kiri ke kanan kerana hukum utiliti sut berkurangan.
 
3 (a) Dengan menggunakan gambar rajah, terangkan bagaimana perubahan harga barang
        itu sendiri mempengaruhi permintaan ke atasnya.                                       [4]
  
• Mengikut hukum permintaan, diandaikan faktor lain tetap, apabila harga suatu barang naik, kuantiti permintaan ke atasnya akan naik, manakala apabila harga suatu barang naik, kuantiti permintaan ke atasnya akan turun.
 
 • Sebagai contoh, keluk permintaan bagi suatu barang dalam gambar rajah di atas yang berkecerunan negatif menunjukkan kuantiti diminta naik daripada 2 unit kepada 3 unit apabila harga barang tersebut turun, manakala kuantiti diminta turun daripada 3 unit kepada 2 unit apabila harga barang tersebut naik daripada RM1.00 kepada RM2.00.

(b) Huraikan tiga faktor selain daripada harga barang itu sendiri yang menentukan
     permintaan ke atasnya.                                                                            [6]

Tiga faktor penentu permintaan selain daripada harga barang itu sendiri ialah:
• Perubahan cita rasa pengguna.
Apabila cita rasa pengguna ke atas suatu barang meningkat, permintaan ke atasnya akan naik, manakala apabila cita rasa pengguna ke atasnya turun, permintaan ke atasnya akan turun.
 • Perubahan pendapatan pengguna. Apabila pendapatan pengguna meningkat, permintaan ke atas suatu barang akan naik, manakala apabila pendapatan pengguna turun, permintaan ke atasnya akan turun.
• Jangkaan harga di masa depan.
Jika dijangka harga barang tersebut akan naik di masa depan, permintaan ke atasnya pada masa kini akan naik, manakala jika dijangka harga barang tersebut akan turun di masa depan, permintaan ke atasnya pada masa kini akan turun.
(Lain-lain faktor: Musim, Jumlah penduduk, Iklan, Agihan pendapatan, polisi kerajaan, harga barang lain).

4. a) Apakah maksud perubahan permintaan?
Perubahan permintaan melibatkan peralihan keluk permintaan kesan dari perubahan faktor  selain dari harga barang,itu sendiri.

(b) Empat faktor yang mengalih keluk permintaan kereta ke kanan daripada keluk permintaan yang asal ialah:
 • Peningkatan cita rasa pengguna.
Apabila cita rasa pengguna ke atas suatu barang meningkat, permintaan ke atasnya meningkat pada sebarang tingkat harga, dengan itu keluk permintaan asal beralih ke kanan.
 • Peningkatan pendapatan pengguna. Apabila pendapatan pengguna meningkat, permintaan ke atas suatu barang meningkat pada sebarang tingkat harga, dengan itu keluk permintaan asal beralih ke kanan.
 • Ketibaan musim tertentu.
Apabila tiba musim tertentu, contohnya musim hujan, permintaan ke atas barang seperti payung akan meningkat pada sebarang tingkat harga, dengan itu keluk permintaan asal bagi payung beralih ke kanan.
 • Dijangka harga barang naik di masa depan.
Jika dijangka harga suatu barang akan naik di masa depan, permintaan ke atasnya meningkat pada masa kini pada sebarang tingkat harga, dengan itu keluk permintaan asal beralih ke kanan.





Menganalisis kesan perubahan anugerah sumber, teknologi, dan komposisi barang modal dan barang pengguna terhadap kapasiti pengeluaran dan keluk kemungkinan pengeluaran;

Sekiranya negara X  mengeluarkan dua jenis barang, iaitu barang pertanian dan barang perkilangan, huraikan kesan terhadap keluk kemungkinan pengeluaran  apabila;

(a) Dasar kerajaan berjaya menarik kemasukan modal asing ke dalam sektor pertanian.
Modal asing banyak melabur di sektor pertanian - tingkat keluaran dalam sektor pertanian meningkat – keluk kemungkinan pengeluaran barang pertanian akan beralih ke kanan.



Berdasarkan gambar rajah di atas, apabila kemasukan modal asing ke dalam   
sektor pertanian, maka keluk kemungkinan pengeluaran beralih ke kanan dari
PQ ke PR          
                                                                                               
(b) Daya pengeluaran sektor perkilangan meningkat lebih cepat daripada sektor pertanian.                                                                    
-  Kenaikan daya pengeluaran akan menambahkan tingkat keluaran
- Apabila daya pengeluaran  sector perkilangan meningkat lebih cepat daripada sektor pertanian 
-  maka tingkat keluaran disektor perkilangan akan meningkat  lebih besar  daripada   pertanian
- menyebabkan keluk kemungkinan pengeluaran beralih ke kanan



Berdasarkan gambar rajah di atas, titik Q akan berpindah ke kanan lebih jauh  kepada titik S – sebaliknya jika daya pengeluaran  barang pertanian meningkat  dengan kecil – maka keluaran barang pertanian meningkat dengan kecil. Dengan itu titik P berpindah sedikit sahaja ke titik R. Oleh itu , KKP akan beralih daripada PQ ke RS.







Sistem Ekonomi, Ciri-ciri dan Mengapa Kerajaan Campurtangan Dalam Ekonomi



 Sistem-sistem Ekonomi
 1 Sistem ekonomi adalah cara masyarakat membuat pilihan mengagihkan sumber untuk menghasilkan barangan yang dikehendaki bagi menyelesaikan masalah asas ekonomi.
Secara amnya, sistem ekonomi terbahagi kepada:
(a) ekonomi pasaran bebas                  (b) ekonomi perancangan pusat
(c) ekonomi campuran                         (d) ekonomi Islam

Sistem Ekonomi Pasaran Bebas

Definisi:  Sistem ekonomi pasaran bebas ialah satu sistem sumber ekonomi yang diperuntukkan melalui mekanisme harga tanpa campur tangan kerajaan. Sistem ini juga dikenali sebagai sistem ekonomi kapitalis dan laissez faire.

Ciri-ciri Sistem Ekonomi Pasaran Bebas
Sistem ekonomi pasaran bebas mempunyai beberapa ciri seperti yang berikut:
1. Peranan mekanisme harga
Dalam sistem ekonomi pasaran bebas, semua keputusan ekonomi diselesaikan melalui mekanisme harga. Interaksi kuasa permintaan dan penawaran akan menentukan harga dan kuantiti barang di pasaran barangan dan pendapatan faktor di pasaran faktor untuk menyelesaikan masalah-masalah asas ekonomi. Perubahan dalam permintaan dan penawaran yang mempengaruhi harga akan mengubah cara bagaimana masyarakat menggunakan sumber ekonominya.
 2. Kerajaan tidak campur tangan dalam kegiatan ekonomi
Kerajaan tidak campur tangan dalam membuat keputusan ekonomi. Semua kegiatan ekonomi dijalankan oleh pihak swasta. Peranan kerajaan terhad kepada menjaga keselamatan negara dan menguatkuasakan undang-undang supaya kegiatan ekonomi berjalan dengan lancar.
 3.  Pemilikan harta persendirian
Individu mempunyai kebebasan untuk memiliki dan menentukan cara penggunaan faktor dan harta persendirian mereka. Individu bebas membuat pilihan bagaimana menggunakan faktor penge­luaran yang dimiliki untuk menjalankan kegiatan ekonomi.
 4. Mementingkan matlamat persendirian
Individu dalam ekonomi bebas membuat keputusan berdasarkan kepentingan persendirian. Pengguna membeli barangan dengan matlamat untuk memaksimumkan kepuasan diri, manakala pe­ngeluar membekalkan barangan dengan matlamat memperoleh keuntungan yang maksimum. Matlamat ini mendorong mereka
menggunakan sumber ekonomi dengan cekap. Kegiatan penggu­naan dan pengeluaran yang mementingkan diri kadang-kadang menimbulkan kesan luaran yang merugikan pihak lain.
 5. Wujudnya persaingan
Individu bebas bersaing dalam ekonomi untuk mencapai matlamat persendirian. Pemilik input bebas bersaing di antara satu sama lain dalam pasaran faktor untuk memperoleh pendapatan maksimum. Pengeluar bebas bersaing antara satu sama lain untuk menge­luarkan barang dan perkhidmatan secara cekap pada kos yang minimum. Pengeluar yang tidak cekap akan mengalami kerugian dan keluar daripada pasaran. Hanya pengeluar yang cekap sahaja yang kekal dalam pasaran.
6. Keagungan pengguna dalam pasaran
Keagungan pengguna merujuk kepada kemampuan pengguna melalui corak perbelanjaan menentukan barang dan perkhid­matan yang diharus dikeluarkan oleh pengeluar. Keputusan tentang apa yang harus dikeluarkan dalam ekonomi bergantung kepada permintaan pengguna. Pengeluar yang bermotifkan keuntungan akan mengeluarkan barang yang paling diingini dan mempunyai permintaan.

Penyelesaian Masalah Asas Ekonomi
Yang berikut adalah kaedah penyelesaian masalah asas sistem ekonomi pasaran bebas.
1 Apa dan berapa banyak suatu barang hendak dikeluarkan?
(a) Berdasarkan mekanisme harga, pengeluar dapat menentukan apa dan berapa banyak suatu barang harus dikeluarkan.
(b) Pengguna memberi petunjuk kepada pengeluar tentang pilihan barang yang dikehendaki melalui kuasa permintaan di pasaran barang. Berdasarkan corak permintaan pengguna, pengeluar yang bermotifkan keuntungan dapat mengenal pasti jenis barang yang mempunyai permintaan berkesan yang tinggi.
(c) Semakin tinggi permintaan semakin banyak sesuatu barang akan dikeluarkan. Misalnya, jika perubahan corak permintaan pengguna daripada kaset kepada cakera padat mendorong
pengeluar mengagihkan lebih banyak sumber untuk menge­luarkan cakera padat dan mengurangkan pengeluaran kaset.
(d) Interaksi kuasa permintaan dan penawaran di pasaran barang akan menentukan tingkat harga dan kuantiti barang yang hendak dikeluarkan.

2 Bagaimana sesuatu barang harus dikeluarkan?
(a) Interaksi antara kuasa permintaan pengeluar terhadap faktor pengeluaran dan kuasa penawaran pemilik faktor di pasaran buruh akan menentukan harga faktor dan jumlah faktor yang akan digunakan dalam proses pengeluaran.
(b) Pengeluar akan menggunakan kaedah pengeluaran yang meminimumkan kos demi memaksimumkan keuntungan.

-Misalnya, jika kos buruh lebih murah berbanding dengan penggunaan modal, maka pengeluar akan menggunakan kaedah pengeluaran yang berintensif buruh. Sebaliknya, jika penggunaan modal lebih cekap dan menjimatkan kos, kaedah intensif modal akan digunakan.

3. Untuk siapa barang itu dikeluarkan?
a)faktor telah mewujudkan pendapatan kepada pemilik faktor pengeluaran apabila, mereka menawarkan pelbagai faktor seperti buruh, tanah dan modal dalam proses pengeluaran. Interaksi permintaan dan penawaran melalui mekanisme harga di pasaran faktor menentukan corak agihan pendapatan.
(b) Barang yang dihasilkan akan diagihkan kepada mereka yang mempunyai keupayaan membayar. Semakin banyak sumber yang dimiliki oleh individu, semakin tinggi pendapatan yang akan diperoleh. Semakin tinggi pendapatan, semakin banyak barang yang dapat dibeli oleh individu.

Kebaikan Sistem Ekonomi Pasaran Bebas
Ekonomi pasaran bebas mempunyai beberapa kebaikan seperti berikut:
1. Kegiatan ekonomi diselaraskan sendiri dengan cekap
Mekanisme harga dalam sistem ekonomi pasaran bebas dapat diselaraskan sendiri tanpa arahan atau campur tangan kerajaan. untuk menyelesaikan masalah asas ekonomi. Misalnya jika berlaku  lebihan permintaan terhadap sesuatu barang, harga barang itu akan meningkat. Kenaikan harga mengurangkan permintaan tetapi mendorong pengeluar untuk menambahkan penawaran. Harga akan terus meningkat sehingga keseimbangan pasaran tercapai.
 2. Sumber ekonomi digunakan secara optimum
Persaingan yang sempurna dalam sistem ekonomi pasaran bebas mendorong para pengeluar menggunakan sumber secara optimum. Kegagalan berbuat demikian bermakna firma akan mengalami kerugian dan tersingkir daripada pasaran. Semua firma yang masih kekal di pasaran terdiri daripada firma yang cekap dengan mengeluarkan output pada kos yang minimum.
3 Insentif bekerja yang tinggi
Individu dalam sistem ekonomi pasaran bebas mempunyai insentif bekerja yang tinggi kerana mereka sanggup berusaha, berkebolehan dan berupaya mengambil risiko akan memperoleh pendapatan yang tinggi. Kebebasan untuk mengumpul kekayaan dan pemilikan harta persendirian mendorong individu meng­gunakan faktor pengeluaran yang dimiliki untuk memaksimumkan pendapatan.
4 Menggalakkan perkembangan ekonomi
Kebebasan untuk mengumpul kekayaaan dan pemilikan harta persendirian menggalakkan tabungan dan pengumpulan modal untuk menyokong kegiatan pelaburan dalam ekonomi. Kegiatan pelaburan yang pesat menaikkan produktiviti dan kekayaan pengeluaran ekonomi. Dengan itu sistem ini telah menggalakkan perkembangan ekonomi untuk membolehkan ekonomi mencapai tingkat kemakmuran yang tinggi.
 5 Menggalakkan kemajuan teknologi
Persaingan antara pengeluar akan mendorong pengeluar sentiasa berusaha untuk membaiki kaedah pengeluaran dan melakukan inovasi. Matlamat untuk memperoleh untung yang lebih tinggi menjadi dorongan kepada firma untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk baru dan barangan yang lebih berkualiti.

Kelemahan Sistem Ekonomi Pasaran Bebas

Sistem ekonomi pasaran bebas mempunyai beberapa kelemahan seperti yang berikut:
 1 Kegiatan ekonomi yang tidak stabil
Kegiatan ekonomi sistem ekonomi pasaran bebas bergantung kepada permintaan dan penawaran. Namun begitu, perubahan dalam permintaan dan penawaran sering berlaku menyebabkan kegiatan ekonomi menjadi turun naik. Kerap kali ekonomi menghadapi masalah inflasi dan masalah pengangguran. Ketidakstabilan kegiatan ekonomi bermakna kegagalan sistem itu untuk menjamin pencapaian matlamat guna tenaga penuh, kestabilan tingkat harga umum dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
 2 Agihan pendapatan yang tidak setara
(a) Persaingan yang tidak adil dalam kegiatan ekonomi tanpa campur tangan kerajaan akan menyebabkan jurang agihan pendapatan semakin besar antara golongan berada dengan golongan miskin.
(b) Golongan kaya akan menjadi semakin kaya kerana mem­punyai kelebihan dalam persaingan bebas, sedangkan golo­ngan miskin terus tinggal miskin kerana kekurangan sumber ekonomi untuk bersaing.
(c) Sumber kekayaan negara tidak dapat dinikmati oleh penduduk secara adil dan saksama. Jurang agihan pendapatan yang tidak setara akan menjejaskan keharmonian masyarakat dan mengancam kestabilan politik dan ekonomi.
3 Kegagalan menyediakan barang awam
(a) Sistem ini gagal untuk menyediakan satu mekanisme yang sesuai untuk menyediakan barang awam. Penyediaan barang awam tidak menguntungkan pengeluar swasta kerana jenis barang itu tidak tertakluk kepada prinsip pengecualian. Pengeluar tidak dapat menghalang mereka yang tidak membayar untuk menggunakan barang tersebut.
(b) Tambahan pula kos penyediaan barang awam yang tinggi menyebabkan pengeluar tidak terdorong untuk menyediakan barang tersebut sedangkan barang awam penting untuk kebajikan masyarakat.
4 Wujudnya monopoli yang merugikan
(a) Persaingan yang tidak sempurna dalam pasaran mewujudkan monopoli yang -menguasai pasaran apabila firma-firma bergabung atau menjadi semakin besar. Firma baru dan
firma kecil tidak dapat bersaing dengan firma monopoli yang mempunyai modal besar dan terus keluar daripada industri.
(b) Firma monopoli merugikan pengguna apabila firma itu sengaja mengehadkan pengeluaran dan mengenakan harga yang tinggi. Pilihan pengguna juga terbatas apabila monopoli menguasai pasaran.
5 Wujudnya kesan luaran yang negatif
Aktiviti penggunaan dan pengeluaran yang mementingkan diri oleh pengguna dan pengeluar dalam usaha untuk memaksimumkan kepuasan atau keuntungan menyebabkan mereka mengabaikan kos sosial dan menimbulkan kesan luaran atau eksternaliti negatif yang merugikan masyarakat.
Contoh: Misalnya dalam usaha untuk menjimatkan kos penge­luaran, pengeluar membuangkan sisa kimia ke dalam sungai. Tindakan ini telah menyebabkan penduduk dan nelayan di sepanjang sungai menanggung kos tidak dapat lagi menggunakan air dan hasil tangkapan nelayan akan merosot.

Sistem Ekonomi Perancangan Pusat
Definisi
Sistem ekonomi perancangan pusat ialah satu sistem kerajaan pusat berkuasa sepenuh untuk membuat keputusan ekonomi bagi menyelesaikan masalah asas ekonomi. Mekanisme harga tidak memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah asas ekonomi.
Contoh: Negara yang masih mengamalkan sistem ekonomi perancangan pusat ialah Korea Utara.
Ciri-ciri Sistem Ekonomi Perancangan Pusat
Ciri-ciri ekonomi perancangan pusat ialah seperti yang berikut:
1. Keputusan ekonomi dikawal sepenuhnya oleh kerajaan
Kerajaan berkuasa penuh dalam membuat semua keputusan ekonomi. Kerajaan menentukan apa dan berapa banyak sesuatu barang dikeluarkan, kaedah mengeluar dan mengagihkan barang tersebut kepada penduduk. Mekanisme harga tidak memainkan peranan dalam penyelesaian masalah asas ekonomi. Pihak swasta tidak mempunyai kebebasan untuk memilih atau mengeluarkan barang kerana semuanya ditentukan oleh kerajaan.
2 Faktor pengeluaran dimiliki oleh kerajaan
Semua sumber ekonomi adalah hak milik kerajaan. Individu tidak mempunyai kebebasan untuk memiliki faktor dan harta persendi­rian. Cara penggunaan faktor pengeluaran ditentukan oleh kerajaan.
3 Matlamat ekonomi yang mementingkan kebajikan rakyat
Matlamat utama ekonomi ialah kebajikan dan kesamarataan rakyat
dan bukan keuntungan maksimum. Sumber ekonomi digunakan kerajaan untuk meningkatkan kebajikan rakyat dengan mengeluar dan mengagihkan barang dan perkhidmatan kepada rakyat secara saksama.
4 Persaingan antara pengeluar tidak wujud
Persaingan tidak wujud di kalangan pengguna dan pengeluar kerana kerajaan yang menentukan peruntukan sumber dan jenis barang yang hendak dikeluarkan. Matlamat kerajaan bukan untuk memperoleh keuntungan maksimum tetapi untuk menaikkan taraf dan tingkat kebajikan penduduk.
5 Keagungan pengguna tidak wujud
Pengguna tidak mampu untuk menentukan barang dan perkhid­matan yang harus dikeluarkan oleh pengeluar melalui kuasa permintaan kerana semua keputusan tentang apa yang harus dikeluarkan dalam ekonomi bergantung kepada perancangan yang dibuat oleh kerajaan.

Penyelesaian Masalah Asas Ekonomi

Yang berikut adalah kaedah-kaedah penyelesaian masalah asas sistem ekonomi perancangan pusat.
1. Apa dan berapa banyak suatu barang hendak dikeluarkan? Keputusan tentang apa dan berapa banyak barang yang hendak dikeluarkan ditentukan oleh kerajaan melalui badan perancangan pusat. Setelah badan ini membuat perancangan untuk menentukan jenis dan jumlah sesuatu barang yang perlu dikeluarkan, sumber­sumber yang mencukupi diperuntukkan untuk mengeluarkan barang tersebut tanpa wujudnya pembaziran. Keputusan dibuat dengan berdasarkan matlamat untuk meningkatkan kebajikan rakyat dan bukan untuk memaksimumkan keuntungan persen­dirian. Justeru itu lazimnya barang yang dikeluarkan ialah barang yang dapat memenuhi keperluan rakyat.
2 Bagaimana sesuatu barang harus dikeluarkan?
Keputusan tersebut ditentukan oleh kerajaan sama ada secara intensif buruh atau intensif modal berdasarkan matlamat yang ingin dicapai. Misalnya untuk mengurangkan masalah peng­angguran, kerajaan akan menggunakan kaedah pengeluaran yang berintensif buruh. Kebajikan pekerja diberi keutamaan dengan memberikan pelbagai faedah seperti upah minimum dan pendapatan selepas persaraan kepada pekerja semasa kerajaan membuat keputusan menentukan kaedah pengeluaran yang sesuai digunakan.
3 Untuk siapa barang itu dikeluarkan?
Agihan pendapatan yang setara dalam sistem ini bermakna barang yang dikeluarkan diagihkan kepada rakyat secara adil dan saksama. Kawalan harga dilakukan untuk memastikan barang itu mampu dibeli oleh rakyat. Jika pengeluaran sesetengah barang tidak mencukupi, sistem catuan akan digunakan untuk memastikan semua rakyat dapat menikmati barang itu.

Kebaikan Sistem Ekonomi Perancangan Pusat
Sstem ekonomi perancangan pusat mempunyai beberapa kebaikan seperti yang berikut:
1 Kegiatan ekonomi yang stabil
Kegiatan ekonomi tidak bergantung kepada turun naik permintaan dan pendwaran. Kegiatan ekonomi dan harga barangan di pasaran adalah stabil kerana semua keputusan ekonomi dirancang dengan teratur dan dikawal oleh kerajaan.
2 Agihan pendapatan yang setara
Penghapusan pemilikan harta dan kekayaan persendirian serta penekanan kepada kesamarataan menyebabkan masalah jurang perbezaan pendapatan tidak wujud dalam masyarakat. Sumber kekayaan negara dinikmati oleh penduduk secara adil dan saksama. Agihan pendapatan setara menjamin keharmonian masyarakat dan kestabilan politik.
3 Kebajikan rakyat diutamakan
Matlamat ekonomi yang mementingkan kebajikan rakyat secara keseluruhan mendorong kerajaan menggunakan sumber ekonomi yang dimiliki untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan yang dapat menaikkan taraf kebajikan rakyat.
4 Peruntukan sumber yang cekap
Sumber ekonomi tidak diagihkan kepada pengeluaran barangan yang hanya mampu dibeli oleh golongan kaya seperti dalam sistem ekonomi pasaran bebas. Sumber ekonomi diperuntukkan kepada pengeluaran barang dan perkhidmatan yang memberi faedah kepada masyarakat.
5 Faedah pengeluaran tanpa persaingan
Pengeluar tidak perlu terlibat dalam pelbagai bentuk persaingan seperti pengiklanan dan promosi yang boleh menaikkan kos pengeluaran tanpa sebarang peningkatan mutu keluaran. Tanpa persaingan, pengeluaran dapat dilakukan secara besar-besaran bagi menikmati pelbagai faedah ekonomi bidangan yang menu­runkan kos pengeluaran. Keadaan ini memanfaatkan peng­guna kerana barangan dapat dibeli pada tingkat harga yang rendah.

Kelemahan Sistem Ekonomi Perancangan Pusat
Sistem ekonomi perancangan pusat mempunyai beberapa kelemahan seperti yang berikut:
1 Ketidakcekapan pentadbiran kerajaan
(a) Mekanisme harga tidak memainkan peranan dalam pe­nyelesaian masalah asas ekonomi dan ini bermakna kerajaan perlu mengumpul data yang banyak untuk tujuan perancangan dan membuat keputusan. Namun begitu, kerenah birokrasi kerajaan sering menyebabkan keputusan tidak dapat dibuat dengan segera untuk menyelesaikan masalah ekonomi.
(b) Kesilapan kerajaan membuat keputusan akan menyebabkan sesetengah barang dikeluarkan secara berlebihan ataupun tidak mencukupi. Dengan itu sumber ekonomi tidak dapat diperuntukkan dengan cekap dan akan berlaku pembaziran sumber.
(c) Pemusatan kuasa di kalangan sesetengah pemimpin juga boleh menyebabkan penyalahgunaan kuasa apabila keputusan ekonomi dibuat untuk kepentingan sendiri dan bukannya untuk kebajikan rakyat.
 2 Kebebasan individu terhad
Sistem ini menakkan kebebasan individu untuk memilih dan mengeluarkan jenis barang yang dikehendaki untuk memaksimumkan kepuasan atau keuntungan. Pengguna tidak dapat menggunakan corak permintaan mereka untuk mempe­ngaruhi jenis barang yang harus dikeluarkan kerana semua keputusan telah ditentukan oleh badan perancangan pusat.
3 Insentif bekerja yang rendah
Individu dalam sistem ekonomi perancangan pusat mempunyai insentif bekerja yang rendah kerana individu tiada kebebasan untuk mengumpul kekayaan dan memiliki harta persendirian. Individu tidak terdorong untuk menaikkan produktiviti kerana semua keuntungan akan menjadi milik kerajaan.
4 Tidak menggalakkan perkembangan ekonomi
Tiada kebebasan untuk mengumpul kekayaan dan pemilikan harta persendirian, tidak menggalakkan tabungan dan pengumpulan modal untuk menyokong kegiatan pelaburan dalam ekonomi. Kegiatan pelaburan hanya bergantung kepada pelaburan yang dijalankan oleh kerajaan. Dengan itu, sistem ini tidak meng­galakkan perkembangan ekonomi untuk membolehkan ekonomi mencapai tingkat kemakmuran yang tinggi.
5 Tidak menggalakkan kemajuan teknologi
Unit-unit pengeluaran tidak terdorong untuk membaiki kaedah pengeluaran dan melakukan inovasi kerana tiada persaingan dalam pasaran. Tanpa unsur keuntungan persendirian, pekerja kurang motivasi untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk baru dan barang yang lebih berkualiti.

Sistem Ekonomi Campuran
1 Sistem ekonomi campuran ialah satu sistem iaitu pihak swasta dan kerajaan bersama-sama membuat keputusan ekonomi untuk menyelesaikan masalah asas ekonomi.
2 Mekanisme harga berfungsi untuk menyelesaikan masalah asas ekonomi dan pada masa yang sama kerajaan juga campur tangan dalam kegiatan ekonomi untuk mengatasi kelemahan-kelemahan mekanisme harga.
Contoh: Malaysia menggmalkan sistem ekonomi campuran.
Mempunyai ciri-ciri seperti yang berikut:
1. Keputusan ekonomi ditentukan oleh pihak swasta dan pihak awam
Mekani'sme harga masih berfungsi untuk menyelesaikan seba­hagian daripada masalah asas ekonomi. Pihak swasta menge­luarkan barang yang dikehendaki oleh masyarakat dengan bermatlamat memaksimumkan keuntungan. Kerajaan pula campur tangan dalam kegiatan ekonomi untuk mengeluarkan barang awam yang gagal disediakan oleh mekanisme harga. Kerajaan juga menentukan harga di pasaran melalui dasar harga minimum dan dasar harga maksimum. Kerajaan turut mengggunakan pencu­kaian dan subsidi untuk mempengaruhi peruntukan sumber dalam ekonomi. Keputusan ekonomi yang dibuat oleh kerajaan bertujuan untuk meningkatkan taraf kebajikan rakyat.
2 Faktor pengeluaran dimiliki oleh pihak swasta dan kerajaan
Individu mempunyai kebebasan untuk memiliki dan mengumpul kekayaan persendirian serta menentukan cara penggunaan faktor Pengeluaran. Namun begitu, kerajaan juga mengawal penggunaan sumber supaya sumber ekonomi dapat digunakan dengan cekap dan teratur untuk kepentingan bersama, misalnya kawalan atas aktiviti pembalakan. Kerajaan juga menggunakan sumber ekonomi yang dimiliki untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan yang strategik yang tidak dapat dikeluarkan oleh sektor swasta seperti penyediaan prasarana dan perkhidmatan pertahanan.
3 Persaingan yang sihat
Pengeluar bebas bersaing antara satu sama lain untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan secara cekap pada kos yang minimum. Namun begitu, kerajaan juga campur tangan dalam kegiatan ekonomi melalui undang-undang dan peraturan untuk meng­galakkan persaingan yang sihat dan adil di kajangan pengeluar, misalnya kawalan terhadap kewujudan monopoli. Kerajaan juga mengawal bilangan pengeluar dalam pasaran untuk mengelakkan persaingan yang membazirkan sumber ekonomi supaya pengeluar dapat menikmati faedah ekonomi bidangan dan meminimumkan kos pengeluaran, misalnya pembekalan elektrik dan air.
4 Kegiatan ekonomi yang terkawal
Individu bebas menggunakan faktor pengeluaran untuk men­jalankan pelbagai kegiatan ekonomi yang dapat memaksimum­kan kepuasan dan keuntungan persendirian. Namun begitu, kerajaan juga mengadakan peraturan dan undang-undang untuk mengawal kegiatan ekonomi supaya kegiatan ekonomi tidak menimbulkan kesan-kesan luaran negatif dan kegiatan haram yang dapat menjejaskan keharmonian masyarakat.

Penyelesaian Masalah Asas Ekonomi
Yang berikut adalah kaedah-kaedah penyelesaian masalah asas sistem ekonomi campuran.
1 Apa dan berapa banyak suatu barang hendak dikeluarkan?
(a) Kerajaan membiarkan mekanisme harga memberi petunjuk kepada pengeluar swasta untuk menghasilkan jenis dan jumlah barang yang dapat memaksimumkan kepuasan pengguna dan keuntungan pengeluar.
(b) Kerajaan juga membuat keputusan menentukan jenis barang dan jumlah barang yang perlu dikeluarkan, khasnya barang awam yang gagal disediakan oleh pihak swasta.
(c) Kerajaan menggunakan peraturan dan undang-undang seperti kawalan harga, pencukaian dan subsidi untuk mempengaruhi operasi mekanisme harga dalam menentukan jenis dan jumlah barang yang harus dikeluarkan. Misalnya pengenaan cukai yang tinggi atas minuman keras akan menaikkan harga minuman keras dan mengurangkan permintaan terhadap minuman tersebut.
2 Bagaimana sesuatu barang harus dikeluarkan?
Pihak swasta yang mementingkan keuntungan akan meng­gunakan kaedah pengeluaran yang cekap untuk meminimumkan kos pengeluaran sama ada secara intensif buruh atau intensif modal. Melalui hasil kerajaan yang terhad, kerajaan turut memastikan pentadbiran kerajaan menyediakan barang dan perkhidmatan awam secara cekap pada kos yang minimum.
3 Untuk siapa barang itu dikeluarkan?
(a) Pihak swasta yang bermatlamat untuk memaksimumkan keuntungan hanya akan mengeluarkan barang bagi mereka yang sanggup dan mampu membayar. Maka barang yang dikeluarkan oleh pihak swasta adalah untuk mereka yang mampu membeli.
(b) Kerajaan yang bermatlamat untuk meningkatkan kebajikan rakyat akan mengeluarkan pelbagai jenis barang awam kepada orang ramai. Barang dan perkhidmatan awam itu ditawarkan kepada semua orang secara percuma ataupun dengan bayaran yang minimum.

Kebaikan Sistem Ekonomi Campuran
Sistem ekonomi campuran mempunyai beberapa kebaikan seperti yang berikut:
1 Kegiatan ekonomi yang stabil
Perubahan dalam permintaan dan penawaran yang sering berlaku dalam ekonomi menyebabkan kegiatan ekonomi yang turun naik. Kerap kali ekonomi menghadapi masalah inflasi dan masalah pengangguran. Campur tangan kerajaan melalui dasar fiskal dan dasar kewangan dapat mengurangkan turun naik kitaran perniagaan dan mencapai matlamat guna tenaga penuh dan kestabilan tingkat harga umum dalam ekonomi.
2 Agihan pendapatan yang lebih setara
Kerajaan menggunakan sistem pencukaian dan subsidi untuk mengagih semula pendapatan dan mengecilkan jurang perbezaan pendapatan antara golangan yang kaya dengan golongan yang lain. Hasil kutipan cukai dapat digunakan untuk membiayai .perkhidmatan awam seperti pendidikan dan perkhidmatan ke­sihatan percuma yang memanfaatkan golongan kurang berada. Program pembangunan kerajaan yang lebih seimbang dan Inenyeluruh juga mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kawasan dan kaum akan lebih menjamin keharmonian `masyarakat dan kestabilan politik dan ekonomi.
3. Menyediakan barang awam
sistem ini telah mewujudkan satu mekanisme yang sesuai untuk mengatasi kegagalan mekanisme harga untuk menyediakan barang awam. Kerajaan menggunakan hasil kutipan cukai untuk membiayai kos penyediaan barang awam yang strategik dan yang diperlukan oleh masyarakat seperti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.
4. Faedah kegiatan ekonomi yang terkawal
Kegiatan ekonomi yang terkawal memastikan kesan-kesan luaran negatif daripada aktiviti penggunaan dan pengeluaran pihak swasta dapat dikurangkan.
Contoh: Hukuman dan denda dikenakan ke atas pengeluar yang mencemarkan alam sekitar. Kawalan terhadap aktiviti-aktiviti haram seperti perjudian dan pengedaran dadah juga menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.
5. Menggalakkan pertumbuhan ekonomi
Kerajaan berfungsi sebagai pelengkap kepada pihak swasta dengan membantu pihak swasta membangunkan sumber manusia melalui penubuhan institusi pendidikan dan latihan serta menyediakan pelbagai prasarana untuk memudahkan pembangunan industri. Pelbagai insentif yang diberikan oleh kerajaan seperti kelonggaran cukai dan elaun pelaburan serta usaha kerajaan mewujudkan suasana ekonomi yang kondusif menggalakkan aktiviti pelaburan untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

Kelemahan Sistem Ekonomi Campuran
Sistem ekonomi campuran mempunyai beberapa kelemahan seperti yang berikut:
1 Kerenah birokrasi
kerajaan yang menghalang perkembangan sektor swasta
Kerenah birokrasi kerajaan seperti kelewatan kerajaan untuk me­luluskan projek pihak swasta dan pemberian lesen sering kali mengganggu kegiatan ekonomi yang ingin dilakukan oleh pihak swasta. Kelewatan itu menyebabkan pihak swasta tidak dapat me­rebut peluang pemiagaan yang sedia ada dan kerap kali kelewatan kelulusan kerajaan telah menaikkan kos pengeluaran sektor swasta.
2. Kesukaran menentukan dasar yang sesuai
Kerajaan mungkin membuat kesilapan dalam menentukan dasar yang sesuai untuk mengatasi masalah pengangguran atau inflasi dalam negara kerana kesukaran untuk menjangka keadaan ekonomi masa depan ataupun ramalan berdasarkan maklumat yang tidak
tepat. Ahli-ahli ekonomi juga mempunyai pandangan yang berbeza tentang keberkesanan dasar-dasar yang perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah-masalah ekonomi.
3. Persaingan sektor swam dengan sektor swasta
Penglibatan kerajaan secara langsung dalam kegiatan ekonomi menyebabkan persaingan sektor awam dengan sektor swasta untuk menggunakan sumber ekonomi, misalnya persaingan antara pihak awam dan pihak swasta untuk mendapat pinjaman daripada sumber dana dalam negeri yang terhad. Persaingan ini akan menaikkan kadar bunga dan seterusnya menaikkan kos pengeluaran pihak swasta. Pihak swasta juga perlu bersaing dengan perusahaan awam jika barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan adalah sama jenis. Sektor swasta sukar bersaing dengan sektor awam yang mempunyai modal yang mencukupi dan barang ditawarkan adalah percuma ataupun pada harga yang rendah.
4. Pembaziran sumber akibat daripada kerugian perusahaan awam
Penglibatan kerajaan secara langsung dalam kegiatan ekonomi menerusi perusahaan awam merupakan pembaziran sumber jika pengurusan perusahaan itu tidak cekap sehingga mengalami kerugian yang besar. Pentadbiran sektor awam yang tertakluk kepada peraturan-peraturan dan undang-undang menyebabkan pihak pengurusan perusahaan awam sukar membuat keputusan dengan cepat untuk menghadapi perubahan. Monopoli kerajaan yang tidak menghadapi persaingan juga kurang motivasi untuk memperbaiki kaedah pengeluaran dan meningkatkan produktiviti.

Sistem Ekonomi Islam
Definisinya
Ekonomi Islam merupakan satu sistem ekonomi yang dijalankan dengan berlandaskan hukum-hukum syariat yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Ekonomi Islam menggunakan sumber rujukan seperti al-Quran dan hadis sebagai panduan untuk menjalankan aktiviti ekonomi.

Ciri-ciri Ekonomi Islam
1 Kebebasan membuat keputusan ekonomi selaras dengan keperluan syariat Islam
Individu sebagai pengguna dan pengeluar bebas membuat keputusan ekonomi selagi tidak bertentangan dengan hukum syariat. Kebebasan untuk menjalankan kegiatan ekonomi dibatasi oleh tanggungjawab terhadap masyarakat seperti yang ditetapkan dan hukum syariat. Individu bebas menjalankan kegiatan ekonomi dan bermatlamat untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat dan bukan untuk memaksimurnkan kepuasan atau keuntungan semata-mata.
2 Mekanisme harga berperanan untuk menyelesaikan masalah asas ekonomi
Mekanisme harga mempunyai peranan untuk menyelesaikan masalah asas dalam ekonomi melalui interaksi kuasa permintaan dan pendwaran. Perubahan dalam permintaan dan pendwaran yang mempengaruhi harga akan mengubah cara bagaimana masyarakat menggunakan sumber ekonominya. Namun, kerajaan sebagai pemerintah bertanggungjawab memastikan rakyat dapat menikmati keperluan-keperluan asas, menggalakkan pembangunan ekonomi yang menyeluruh dan mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dalam kalangan rakyatnya.
3 Kebebasan memiliki harta dan mengumpul kekayaan selagi tidak bertentangan dengan syariah Islam
Individu mempunyai kebebasan untuk memiliki harta dan mengumpulkan kekayaan persendirian selagi tindakan ini tidak bertentangan dengan syariat Islam. Islam melarang pengumpulan kekayaan atau harta yang tidak berpatutan kepada individu. Semua harta adalah milik Allah. Individu hanya merupakan pemegang amanah kepada sumber ekonomi dan sumber-sumber itu harus digunakan untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan yang halal dan berfaedah kepada manusia dan bukannya memenuhi kemahuan nafsu yang tidak terhad.
4 Kepentingan individu dan kebajikan masyarakat diseimbangkan
Kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh individu harus selaras dengan syariat Islam dan tidak hanya menjaga kepentingan diri pengguna dan " pengeluar dalam usaha untuk memaksimumkan kepuasan atau keuntungan. Kepentingan individu dan kebajikan masyarakat harus seimbang di mana aktiviti penggunaan dan pengeluaran tidak mengabaikan kos sosial dan menimbulkan kesan luaran negatif yang merugikan masyarakat.

Penyelesaian Masalah Asas Ekonomi
1 Apa dan berapa banyak suatu barang hendak dikeluarkan?
(a) Mekanisme harga masih berfungsi untuk menentukan apa dan berapa banyak sesuatu barang hendak dikeluarkan seperti dalam sistem ekonomi pasaran bebas. Namun begitu, hanya barang-barang yang halal sahaja dikeluarkan. Barang-barang yang bertentangan dengan hukum syarak dan tidak bermanfaat kepada masyarakat seperti dadah dan minuman keras tidak akan dikeluarkan.
(b) Jumlah pengeluaran sesuatu barang tidak harus menjejaskan pengeluaran barang yang lain, khasnya barang-barang keperluan masyarakat. Kerajaan juga turut campur tangan dalam kegiatan ekonomi untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan awam yang tidak dikeluarkan oleh sektor swasta.
2 Bagaimana sesuatu barang harus dikeluarkan?
Pihak swasta yang mementingkan keuntungan akan menggunakan kaedah pengeluaran yang cekap untuk meminimumkan kos pengeluaran sama ada secara intensif buruh atau intensif modal. Kerajaan berperanan memastikan bahawa kegiatan pengeluaran tidak akan me-nimbulkan kesan luaran negatif yang merugikan masyarakat.
3 Untuk siapa barang itu dikeluarkan?
Masalah ini diselesaikan melalui corak agihan pendapatan dalam pasaran faktor. Individu menggunakan pendapatan yang diperoleh untuk membeli barang dan perkhidmatan yang ada di pasaran. Sistem zakat digunakan untuk mengagihkan pendapatan daripada kumpulan yang berada kepada kumpulan yang memerlukannya. Golongan yang miskin dipastikan memperoleh sejumlah barang keperluan asas.

Contoh soalan dan jawapan


(a) Terangkan apa yang dimaksudkan sistem ekonomi pasaran bebas, ciri-cirinya dan juga kelemahannya.
Sistem ekonomi pasaran bebas ialah sistem ekonomi yang menyelesaikan masalah asas  ekonomi melalui keputusan pihak isi rumah dan firma melalui mekanisme pasaran tanpa campur tangan pihak kerajaan.
Ciri-ciri sistem ekonomi pasaran bebas ialah:
• Masalah asas ekonomi ditentukan oleh isi rumah dan firma di pasaran.
• Tiada campur tangan kerajaan yang ketara.
• Individu dan firma bebas memiliki faktor pengeluaran dan harta.
• Individu dan firma bebas membuat pilihan.
• Ianya biasa diamalkan di negara kapitalis yang maju.
Antara kelemahan ekonomi pasaran bebas ialah:
•Agihan pendapatan tidak seimbang, iaitu jurang antara golongan kaya dengan miskin terus meluas.
•Kegagalan mengeluarkan barang - awam kerana semua firma swasta bermotifkan keuntungan. Oleh sebab barang awam yang memerlukan modal sangat besar dengan bayaran rendah atau percuma adalah tidak menguntungkan, maka firma swasta tidak berminat untuk mengeluarkannya
-Kesan luaran yang negatif seperti pencemaran air dan udara kerana tiada peraturan atau andang-undang yang mencegahnya.

(b) Terangkan sistem ekonomi campuran serta ciri-cirinya.
Sistem ekonomi campuran ialah sistem ekonomi yang menyelesaikan masalah asas ekonomi melalui keputusan isi rumah dan firma di pasaran dan campur tangan pihak kerajaan.
Antara ciri-ciri sistem ekonomi campuran ialah:
• Masalah asas ekonomi ditentukan oleh isi rumah, firma dan kerajaan.
• Kerajaan campur tangan secara ketara dalam menentukan kebajikan masyarakat.
• Individu, firma dan kerajaan bebas memiliki faktor pengeluaran dan harta.
• Individu dan firma bebas membuat pilihan.

(c) Sebab-sebab kerajaan perlu campurtangan dalam ekonomi.
Antara sebab campur tangan kerajaan dalam sistem ekonomi pasaran bebas ialah:
- Untuk penyediaan barangan awam
Barang awam merupakan barang yang perlu ditawarkan kepada pengguna dan barang ini tidak menguntungkan pengeluar. Misalnya pembinaan rumah api, bekalan air dan elektrik. Oleh kerana pengeluarannya tidak menguntungkan, maka pihak swasta tidak mengeluarkan barang tersebut. Keadaan ini menyebabkan keajaan akan campur tangan dalam ekonomi untuk mengeluarkan barang awam bagi meningkatkan kebajikan masyarakat.
- Mengatasi masalah eksternaliti negatif
Firma yang mementingkan keuntungan tidak mengambil kira eksternaliti negatif yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat. Eksternaliti negatif seperti kesesakan lalu lintas dan pencemaran akan merugikan masyarakat. Oleh itu, kerajaan perlu campur tangan dengan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan bagi memastikan firma yang beroperasi mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan: Keadaan ini menyebabkan kegiatan ekonomi meningkat selari dengan kualiti kehidupan masyarakat yang juga meningkat.
- Mengawal ketidakstabilan ekonomi
Kitaran perniagaan menyebabkan berlaku inflasi dan kemelesetan dalam ekonomi. Bagi mengawal keadaan ketidakstabilan ini, kerajaan perlu campur tangan dengan menjalankan dasar fiskal dan dasar kewangan bagi menstabilkan keadaan ekonomi negara.
- Merapatkan jurang agihan pendapatan
Agihan pendapatan yang tidak setara menyebabkan jurang pendapatan antara golongan kaya dengan golongan miskin semakin besar. Oleh itu, kerajaan campur tangan dengan mengenakan cukai yang tinggi kepada golongan kaya dan memberi subsidi kepada golongan miskin. Keadaan ini akan merapatkan jurang pendapatan dan mencapai agihan pendapatan yang lebih setara.
- Mencapai kecekapan pengeluaran dan peruntukan sumber
Campur tangan kerajaan membolehkan berlakunya persaingan sihat antara firma. Campur tangan kerajaan akan mengawal firma monopoli daiam ekonomi. Keadaan ini membolehkan ekonomi mencapai kecekapan pengeluaran, iaitu mengeluarkan output pada kos purata minimum dan mencapai peruntukan sumber tingkat harga sama dengan kos sut yang akan menguntungkan pengeluar dan pengguna

 (d) Ekonomi perancangan pusat dan sistem ekonomi pasaran bebas mempunyai ciri-ciri  kebaikannya yang tersendiri. Huraikan tiga sebab mengapa sistem ekonomi campuran diwujudkan.
Sistem ekonomi campuran diwujudkan bagi menyatukan kebaikan dan menyelesaikan kelemahan sistem ekonomi pasaran pusat dan sistem ekonomi pasaran bebas, di antaranya campur tangan kerajaan untuk menyelesaikan masalah seperti:
• Penyediaan barang awam.
Barang awam biasanya kekurangan dalam sistem pasaran bebas, dengan itu kerajaan berperanan untuk menyediakan secukupnya barang awam dalam ekonomi untuk kegunaan masyarakat.
• Mengeluarkan barang yang tidak mampu dikeluarkan oleh pihak swasta. Sesetengah barang atau perkhidmatan seperti tenaga elektrik dan pengangkutan udara tidak dapat dikeluarkan oleh pihak swasta dalam sistem ekonomi kerana kosnya tinggi, dengan itu kerajaan berperanan mengeluarkannya.
•Kawalan kerajaan melalui undang-undang dan peraturan.
Kerajaan perlu mengawal sebahagian aktiviti ekonomi untuk keselamatan dan kebajikan masyarakat, contohnya melalui penggubalan undang-undang dan peraturan kawalan harga, cukai dan subsidi.
• Sistem ekonomi perancangan pusat ialah sistem ekonomi yang menyelesaikan masalah asas ekonomi melalui keputusan kerajaan semata-mata. Keputusan ekonomi dibuat di peringkat pusat oleh kerajaan tanpa apa-apa campur tangan daripada pihak swasta.
• Sistem ekonomi pasaran bebas ialah sistem ekonomi yang menyelesaikan masalah asas ekonomi melalui keputusan pihak isi rumah dan firma tanpa campur tangan pihak kerajaan. Keputusan ekonomi dibuat oleh pihak swasta melalui mekanisme pasaran dan campur tangan kerajaan hanya terhad di bidang seperti keselamatan dan ketenteraan.
• Sistem ekonomi campuran ialah sistem ekonomi yang menyelesaikan masalah asas ekonomi   melalui keputusan isi rumah, firma dan kerajaan. Sebahagian keputusan ekonomi ditentukan ole pihak swasta melalui mekanisme pasaran, manakala kerajaan berperanan untuk campur tangan dalam bidang yang melibatkan kebajikan masyarakat.