Saturday, June 14, 2014

Hukum permintaan, faktor yang mempengaruhi permintaan



Terangkan bagaimana hukum permintaan dapat menjelaskan keluk permintaan individu ke atas suatu barang yang mencerun negatif.

•Hukum permintaan menyatakan, diandaikan faktor lain tetap, apabila harga suatu barang turun, kuantiti permintaan ke atasnya akan naik, manakala apabila harga suatu barang naik, kuantiti permintaan ke atasnya akan turun.
• Hubungan songsang atau negatif antara kuantiti diminta dengan tingkat harga yang dinyatakan oleh hukum permintaan ini adalah selaras dengan hubungan negatif antara kuantiti diminta dengan harga yang ditunjukkan oleh keluk permintaan bagi barang biasa yang berkecerunan negatif, iaitu mencerun menurun dari kanan ke kiri.
 
 • Sebagai contoh, keluk permintaan dalam gambar rajah di atas menunjukkan apabila harga barang turun daripada RM2.00 kepada RM1.00, permintaan naik daripada 2 unit kepada 3 unit, manakala apabila harga naik daripada RM2.00 kepada RM3.00, permintaan turun daripada 2 unit kepada 1 unit sahaja.

2. Mengapa keluk permintaan bercerun negatif?
 Keluk permintaan bagi suatu barang mencerun menurun dari kiri ke kanan disebabkan  oleh:

• Kesan penggantian.

Andaikan faktor lain tetap, kenaikan harga suatu barang akan menyebabkan harganya menjadi mahal berbanding harga barang penggantinya, dengan itu kuantiti permintaan ke atasnya turun kerana digantikan dengan barang penggantinya. Sebaliknya, penurunan harga barang menyebabkan harganya menjadi lebih murah berbanding barang penggantinya, dengan itu kuantiti permintaannya meningkat.

• Kesan pendapatan benar.

Andaikan faktor lain tetap, peningkatan harga suatu barang menyebabkan pendapatan benar pengguna turun, dengan itu kuantiti barang tersebut dapat diminta dengan jumlah pendapatan yang sama menjadi kurang. Sebaliknya, penurunan harga suatu barang meningkatkan pendapatan benar pengguna, dengan itu lebih barang dapat diminta dengan jumlah pendapatan yang sama.
• Hukum utiliti sut berkurangan.
Keluk permintaan yang mencerun menurun dari kiri ke kanan boleh dibentuk daripada keluk utiliti sut yang mencerun menurun dari kiri ke kanan kerana hukum utiliti sut berkurangan.
 
3 (a) Dengan menggunakan gambar rajah, terangkan bagaimana perubahan harga barang
        itu sendiri mempengaruhi permintaan ke atasnya.                                       [4]
  
• Mengikut hukum permintaan, diandaikan faktor lain tetap, apabila harga suatu barang naik, kuantiti permintaan ke atasnya akan naik, manakala apabila harga suatu barang naik, kuantiti permintaan ke atasnya akan turun.
 
 • Sebagai contoh, keluk permintaan bagi suatu barang dalam gambar rajah di atas yang berkecerunan negatif menunjukkan kuantiti diminta naik daripada 2 unit kepada 3 unit apabila harga barang tersebut turun, manakala kuantiti diminta turun daripada 3 unit kepada 2 unit apabila harga barang tersebut naik daripada RM1.00 kepada RM2.00.

(b) Huraikan tiga faktor selain daripada harga barang itu sendiri yang menentukan
     permintaan ke atasnya.                                                                            [6]

Tiga faktor penentu permintaan selain daripada harga barang itu sendiri ialah:
• Perubahan cita rasa pengguna.
Apabila cita rasa pengguna ke atas suatu barang meningkat, permintaan ke atasnya akan naik, manakala apabila cita rasa pengguna ke atasnya turun, permintaan ke atasnya akan turun.
 • Perubahan pendapatan pengguna. Apabila pendapatan pengguna meningkat, permintaan ke atas suatu barang akan naik, manakala apabila pendapatan pengguna turun, permintaan ke atasnya akan turun.
• Jangkaan harga di masa depan.
Jika dijangka harga barang tersebut akan naik di masa depan, permintaan ke atasnya pada masa kini akan naik, manakala jika dijangka harga barang tersebut akan turun di masa depan, permintaan ke atasnya pada masa kini akan turun.
(Lain-lain faktor: Musim, Jumlah penduduk, Iklan, Agihan pendapatan, polisi kerajaan, harga barang lain).

4. a) Apakah maksud perubahan permintaan?
Perubahan permintaan melibatkan peralihan keluk permintaan kesan dari perubahan faktor  selain dari harga barang,itu sendiri.

(b) Empat faktor yang mengalih keluk permintaan kereta ke kanan daripada keluk permintaan yang asal ialah:
 • Peningkatan cita rasa pengguna.
Apabila cita rasa pengguna ke atas suatu barang meningkat, permintaan ke atasnya meningkat pada sebarang tingkat harga, dengan itu keluk permintaan asal beralih ke kanan.
 • Peningkatan pendapatan pengguna. Apabila pendapatan pengguna meningkat, permintaan ke atas suatu barang meningkat pada sebarang tingkat harga, dengan itu keluk permintaan asal beralih ke kanan.
 • Ketibaan musim tertentu.
Apabila tiba musim tertentu, contohnya musim hujan, permintaan ke atas barang seperti payung akan meningkat pada sebarang tingkat harga, dengan itu keluk permintaan asal bagi payung beralih ke kanan.
 • Dijangka harga barang naik di masa depan.
Jika dijangka harga suatu barang akan naik di masa depan, permintaan ke atasnya meningkat pada masa kini pada sebarang tingkat harga, dengan itu keluk permintaan asal beralih ke kanan.





No comments:

Post a Comment